==========
KANSER RAHIM
==========
Kanser rahim adalah kanser yang kedua paling penting di dalam organ reproduktif wanita selepas kanser pangkal rahim. Mengikut data dari Statistik Kanser Kebangsaan 2003, kadar kejadian kanser rahim adalah 6.9 di dalam 100,000 populasi. Kadar kejadian kanser rahim tidak setinggi di negara-negara Barat. Di negara-negara Barat seperti Amerika, Kanser Rahim adalah kanser wanita yang paling utama selepas kanser payudara.
Di Malaysia insiden kanser rahim adalah paling tinggi di kalangan wanita yang berusia 60-69 tahun dengan kadar 29.7 di dalam 100,000 populasi. Ianya didapati lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbangsa Cina dan India jika dibandingkan dengan wanita berbangsa Melayu.
APA ITU KANSER RAHIM
--------------------------
Rahim adalah organ reproduktif yang berfungsi sebagai tempat membesarnya janin ataupun kandungan. Rahim merupakan organ berbentuk buah pear dan terdiri dari bahagian badan (”uterine body”) dan bahagian pangkal rahim ( serviks). Sempadan yang memisahkan bahagian badan rahim dan pangkal rahim adalah dipanggil istmus (lihat rajah). Bila disebut kanser rahim ianya merujuk kepada kanser yang terjadi ataupun berasal dari bahagian badan rahim.
RISIKO MENGHIDAP KANSER ENDOMETRIUM
Kejadian kanser endometrium mempunyai kaitan yang rapat dengan pengedaran serta kandungan hormon wanita yang dipanggil estrogen. Wanita-wanita yang mempunyai kandungan hormon estrogen yang tinggi samada diperolehi dari dalam badan mereka sendiri ataupun dari ubat-ubatan yang diambil dari luar boleh terdedah kepada kemungkinan menghidap kanser endometrium.
Berikut adalah faktor-faktor risiko terjadinya kanser endometrium:
a. Kegemukan, wanita yang gemuk mempunyai simpanan hormon estrogen yang tinggi terutama di lapisan lemak badan.
b. Wanita yang sukar mendapatkan anak ataupun mandul.
c. Wanita yang menghidap penyakit darah tinggi
d. Wanita yang menghidap penyakit kencing manis
e. Wanita yang mempunyai keturunan kanser wanita .
f. Wanita yang mengambil ubat hormon Tamoxifen untuk rawatan kanser payudara juga risiko menghidap kanser endometrium. Walau bagaimanapun manafaat yang diperolehi dari mengambil ubat ini lebih besar dari mudharat kemungkinan mengidap kanser rahim.
g. Wanita yang mengambil hormon estrogen yang berpanjangan. Wanita yang putus haid perlu mengambil hormon estrogen untuk memulihkan kesihatan badan mereka. Walau bagaimanapun jika sekiranya mereka masih lagi mempunyai rahim, hormon estrogen ini perlu diambil bersama hormon progesteron. Kadar kejadian kanser rahim akan menjadi tinggi jika sekiranya mereka mengambil hormon estrogen sahaja. Wanita yang ingin mengambil hormon selepas putus haid perlu mendapat pandangan Pakar Sakit Puan

Comments
Post a Comment