Skip to main content

Ramai Wanita Tak Tahu Ada Fibroid





Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my
Sumber : www.harianmetro.com.my

Fibroid dalam rahim juga dikenali sebagai leiomyoma atau myoma adalah ketumbuhan benigna (bukan kanser) yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita. Saiz dan bentuk ketulan fibroid ini juga tidak sama dan boleh berlaku di pelbagai tempat seperti dalam rahim, luar rahim atau antara lapisan rahim atau melekat pada rahim seperti struktur akar.

Malah, fibroid ini boleh tumbuh satu ketulan sahaja atau lebih banyak ketulan pelbagai saiz. Satu ketulan fibroid yang kecil ini juga boleh kekal sedemikian sehingga tempoh yang lama, namun ia boleh membesar dengan pantas secara tiba-tiba atau membesar perlahan-lahan dalam tempoh bertahun-tahun.

Fibroid ini boleh berlaku terhadap wanita pada semua peringkat usia yang sudah mencapai akil baligh, tetapi paling kerap berlaku dalam kalangan wanita berusia 30 hingga 50 tahun. Dianggarkan 20 hingga 40 peratus insiden fibroid dalam rahim berlaku dalam kalangan wanita dalam tempoh reproduktif (tahun kesuburan). Wanita Afrika-Amerika dikatakan lebih kerap mendapat fibroid berbanding wanita Kaukasia dan Asia.


Banyak faktor epidemiologi dikaitkan dengan pembentukan myoma ini, namun kebanyakannya masih tidak dapat difahami sepenuhnya termasuk kaitannya dengan bangsa, hormon endogen, obesiti, persekitaran, gaya hidup seperti pengambilan kafein, alkohol, merokok, aktiviti fizikal dan tekanan serta pengaruh lain seperti darah tinggi dan jangkitan.

Kebanyakan wanita tidak tahu bahawa mereka mempunyai fibroid kerana tidak mengalami simptom penyakit hinggalah membuat pemeriksaan klinikal dan doktor mengesahkan di dalam rahim mereka ada ketulan terbabit.

Fibroid yang menunjukkan simptom mendatangkan kesan yang besar kepada kualiti kehidupan seseorang wanita termasuk produktivitinya. Dalam satu kajian membabitkan 21,000 wanita daripada lapan negara, didapati gejala buruk akibat fibroid menjejaskan hubungan seks bersama suami sebanyak 43 peratus, mengganggu tugas di tempat kerja (28 peratus), manakala mengurangkan masa lapang bersama rakan dan keluarga (27 peratus).

Pembedahan yang biasa ditawarkan untuk merawat fibroid dalam rahim itu adalah miomektomi iaitu prosedur untuk membuang fibroid tanpa membuang rahim (uterus). Ia biasanya dilakukan kepada wanita yang masih mahu mendapatkan anak. Walaupun ketulan lama sudah dibuang, pesakit masih berisiko mendapat ketulan baru dan lebih banyak pembedahan terpaksa dilakukan.

Histerektomi pula pembedahan membuang rahim dan biasanya serviks turut dibuang. Ia hanya akan dipertimbangkan selepas semua rawatan alternatif tidak berjaya atau ketulan terlalu besar. Malah, pesakit yang menjalani pembedahan ini tidak boleh mengandung.

Perunding Perbidanan dan Pakar Sakit Puan, Pusat Sakit Puan dan Perubatan Janin (FMGC), Dr Raman Subramaniam berkata, pengurusan pesakit dengan fibroid dalam rahim sangat bergantung kepada keadaan semasa pesakit.

Ini kerana, fibroid yang tidak menunjukkan simptom, bersaiz kecil dan berlaku dalam kalangan wanita hampir putus haid (menopaus) biasanya tidak memerlukan rawatan. Bagaimanapun, pesakit yang sengsara akibat simptom ketulan dalam rahim itu memerlukan rawatan sama ada pengambilan ubatan atau menjalani pembedahan atau kedua-duanya sekali.

“Biasanya pembedahan dianggap sebagai pilihan paling biasa untuk merawat fibroid dalam rahim dengan tahap simptom yang sederhana hingga teruk. Bagaimanapun, seperti mana-mana juga jenis pembedahan wujud risiko untuk berlaku komplikasi. Sebab itu, prosedur seperti histerektomi sering dikaitkan dengan morbiditi, kematian dan beban ekonomi ke atas sistem penjagaan kesihatan.

“Bagi sesetengah wanita, mereka rasa terhalang daripada menjalankan prosedur ini kerana ia bermakna peluang mereka untuk mengandung sudah tertutup. Bagi wanita yang mencari alternatif, miomektomi memberikan kelegaan sementara daripada fibroid dalam rahim yang dihadapi. Bagaimanapun, wujud risiko fibroid ini akan berulang di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada panel perbincangan mengenai fibroid dalam rahim dan rawatannya anjuran syarikat farmaseutikal, Zuellig Pharma, sempena pelancaran Ulipristal Acetate 5mg (UPA 5mg) iaitu terapi oral pertama untuk merawat simptom akibat penyakit terbabit di ibu negara, baru-baru ini.

Turut menyertai panel berkenaan, Ketua Jabatan Ginekologi di Universiti Katholik Louvain (Belgium) yang juga penyiasat utama percubaan klinikal UPA 5mg, Profesor Dr Jacques Donnez dan Ketua Pegawai Eksekutif Zuellig Pharma Malaysia-Brunei, Santiago Garcia.

Dr Raman berkata, terapi farmakologi juga boleh digunakan untuk merawat fibroid dalam rahim, tetapi kaedah ini hanya memberikan kelegaan sementara, manakala penggunaan jangka panjang mempunyai kekurangan tertentu seperti terjadinya menopaus pramatang dan kurangnya ketumpatan tulang. Fibroid juga selalunya akan membesar dan simptom akan kembali sebaik sahaja rawatan dihentikan.

“Terapi ubatan juga adalah pilihan rawatan kepada segelintir wanita dengan masalah fibroid. Ubatan mungkin mengurangkan kesakitan dan pendarahan haid yang teruk akibat ketulan terbabit. Ia tidak membuang terus fibroid, sebaliknya mungkin mengecutkan ketulan itu.

“Ubatan untuk fibroid termasuk pil perancang kehamilan yang digunakan untuk mengawal pendarahan haid yang banyak dan pelepas hormon Gonadotropin (GnRH) agonis yang menyekat penghasilan estrogen dan progesteron menyebabkan pesakit mengalami menopaus sementara.

“Keputusan penggunaan GnHR agonis juga menyebabkan kitaran haid terhenti, fibroid mengecut dan simptom seperti anemia akan pulih. Namun, GnHR agonis hanya digunakan untuk jangka pendek iaitu kurang enam bulan kerana ia menyebabkan banyak kesan sampingan. Selepas pengambilan GnHR agonis dihentikan, fibroid biasanya akan kembali ke saiz asal,” katanya.

Sementara itu, pemodulat reseptor progesterone terpilih (SPRMs) adalah kelas baru bagi reseptor progesterone ligan yang mempamerkan kesan tisu terpilih pada sel sasaran. SPRMs sudah terbukti cekap untuk mengurangkan simptom dan saiz fibroid. Strategi pengurusan baru membabitkan SPRMs dijangka mengubah pendekatan pembedahan fibroid.

Dr Jacques berkata, UPA 5mg adalah SPRMs oral aktif yang pertama dalam kelasnya dan dilesenkan sebagai rawatan untuk fibroid. Ia dicirikan oleh kesan campuran antagonis atau agonis progesteron untuk tisu yang tertentu dan menyekat reseptor progesteron dalam tisu sasaran. Malah, wujud keputusan kajian terhadap penggunaannya untuk jangka pendek dan panjang dalam pengurusan fibroid dalam rahim.

“UPA 5mg adalah SPRMs yang diluluskan untuk rawatan praoperasi simptom fibroid dalam rahim tahap sederhana hingga teruk dalam kalangan wanita dewasa yang dalam tempoh kesuburan
“Bagi segelintir wanita, fibroid dalam rahim mungkin menyebabkan pendarahan haid yang teruk, sakit pelvik dan memberi tekanan kepada organ lain.

“Oleh itu, UPA 5mg bertindak dengan mengubah suai aktiviti progesteron mengakibatkan ketulan fibroid mengecut, menghentikan atau mengurangkan pendarahan dan menambah bilangan sel darah merah,” katanya.

Katanya, kajian percubaan klinikal UPA 5mg yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan New England pada 2012, mendapati bahawa pendarahan haid bagi pesakit yang dirawat dengan UPA 5mg berhenti dalam masa tujuh hari, manakala pendarahan dapat dikawal bagi lebih 90 peratus daripada pesakit dalam tempoh rawatan selama 13 minggu.

“Kajian jangka panjang juga mengesahkan keberkesanan dan keselamatan penggunaan UPA 5mg secara berulang dan berselang-selang untuk menangani fibroid dalam rahim. Ia adalah pilihan yang bagus untuk wanita yang mahu hamil, mengelakkan pembedahan atau persediaan sebelum pembedahan bagi mengurangkan saiz luka akibat pembedahan.

“Wanita yang menderita akibat fibroid dalam rahim sebelum ini selalunya berasa tertekan bila berdepan dengan pilihan rawatan melalui pembedahan, manakala terapi farmakologi pula membataskan keupayaan badan mereka. Dengan UPA 5mg, kini ada pilihan dengan nilai tambahan yang membolehkan pesakit mengelakkan kaedah rawatan biasa,” katanya.

Manfaat UPA 5mg dalam membantu wanita yang menghidap fibroid dalam rahim seperti cepat mengawal pendarahan berlebihan ketika haid dalam tempoh seminggu, merawat anemia akibat pendarahan rahim, mengecutkan fibroid dan saiz kekal sekurang-kurangnya enam bulan selepas berhenti mengambil ubat, melegakan kesakitan sampingan dan ia juga bertoleransi baik dalam tubuh pesakit.

Dr Raman berkata, UPA 5mg mempunyai potensi yang besar untuk membantu wanita Malaysia yang begitu ramai menderita akibat simptom fibroid dalam rahim yang menjejaskan aktiviti harian mereka.

“Terapi oral ini yang hanya diberikan melalui preskripsi selepas diagnosis penyakit yang sah diyakini dapat mengubah kualiti kehidupan wanita yang sengsara akibat masalah kesihatan ini kepada lebih baik.

“Misalnya, bagi wanita Muslim yang ingin menunaikan solat dan mengerjakan ibadat haji atau umrah. Pastinya, pendarahan haid yang teruk sehingga berminggu-minggu lamanya menyukarkan mereka melakukan rukun Islam berkenaan.

“Begitu juga wanita Hindu yang datang haid tidak boleh memasuki kuil untuk beribadat. Oleh itu, UPA 5mg yang mampu menghentikan pendarahan haid selagi ia diambil membantu mereka melakukan ibadat mengikut anutan agama masing-masing,” katanya.

Simptom fibroid dalam rahim
• Pendarahan haid yang teruk dan berpanjangan
• Senggugut
• Pendarahan faraj pada masa yang lain daripada haid
• Anemia
• Kesakitan selepas hubungan seks (dyspareunia)
• Tekanan pelvik
• Lemah kawalan kencing
• Pembesaran uterus dan abdomen
• Keguguran
• Ketidaksuburan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:01 AM

Comments